
PETALING JAYA: Tiada keperluan mewajibkan ujian saringan air kencing berkala kerana penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam tidak begitu membimbangkan, kata Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presidennya, Adnan Mat, berkata ujian saringan air kencing dilakukan dalam sektor awam sejak sekian lama, mengikut keperluan.
Katanya, program pencegahan sentiasa dilaksanakan setiap tahun dan berkala juga berkesan mengekang gejala tidak sihat itu.
“Setiap ketua jabatan diberikan garis panduan jelas bagi merancang dan melaksanakan program pencegahan serta membasmi kegiatan penagihan dadah dalam kalangan pegawai dan kakitangan masing-masing.
“Garis panduan itu termasuk penubuhan pasukan khas bagi melaksanakan ujian air kencing,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah Cuepacs sentiasa menyokong program berbentuk pendidikan dan pencegahan dilaksanakan secara berkala.
Semalam, penganalisis jenayah, Kamal Afendi Hashim, dilaporkan berkata ujian saringan air kencing secara berkala dan mengejut bagi memastikan setiap kakitangan kerajaan bebas dadah.
Katanya, langkah itu tidak hanya memfokuskan pasukan polis, tetapi membabitkan kakitangan lain dalam sektor kerajaan serta penggubal undang-undang.