
PUTRAJAYA: Tiga lelaki termasuk dua warga asing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, dengan 10 sebatan setiap seorang, selepas mengaku bersalah memiliki kira-kira 9kg dadah jenis methamphetamine (syabu) lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail, memutuskan hukuman ke atas K Dinakaran, 43; warga Bangladesh Asraful Alam, 28; dan warga India M Arivazhagan, 50, bermula tarikh mereka ditangkap pada 13 Ogos 2016.
Terdahulu, Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah mengetepikan hukuman mati kerana kesalahan mengedar yang dijatuhkan ke atas ketiga-tiga tertuduh oleh Mahkamah Tinggi pada 2019.
Mereka didakwa mengedar 9,179.3g dadah tersebut di sebuah rumah di Ampang, Selangor, pada 13 Ogos 2016.
Hadhariah berkata, pihak mahkamah bersetuju dengan peguam Afifuddin Ahmad Hafifi bahawa tuduhan mengedar itu cacat.
“(Tuduhan) dinyatakan sebagai pengedaran menerusi pembuatan sedangkan ia sepatutnya (dinyatakan sebagai) penyediaan untuk membuat dadah,” katanya.
Tambahan, katanya, hakim perbicaraan gagal memaklumkan tertuduh pada penutupan kes pendakwaan sama ada berlaku pemilihan sebenar atau disangka untuk membolehkan mereka menyediakan pembelaan.
Hadhariah berkata sabitan atas kesalahan mengedar itu tidak kukuh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail mencadangkan hukuman penjara antara 18 dan 20 tahun, dengan mengambil kira berat dadah itu.
Mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, seseorang itu dianggap sebagai pengedar jika memiliki 30g atau lebih methamphetamine.
Sebaliknya, Afifudin mencadangkan hukuman penjara antara 10 dan 15 tahun memandangkan itu trend hukuman pada 2016.