
PETALING JAYA : Dakwaan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak akan bersetuju dengan pengampunan untuk bekas perdana menteri Najib Razak mungkin tidak menjejaskan Umno, kata penganalisis.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, pendirian Rafizi itu bukan pandangan rasmi PH mahupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Ia tidak akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) meninggalkan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azmi berkata, ada kemungkinan undi protes dilihat pada PRK Pelangai bulan depan, tetapi beliau tidak menjangkakan ia akan mempengaruhi keputusan undian dengan signifikan.
“Ia tidak akan memberikan kesan besar kerana Najib orang Pahang,” katanya. Najib sebelum ini adalah Ahli Parlimen Pekan.
Sementara itu, Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, walaupun Najib masih popular, sebahagian besar penyokong Umno mahukan pembaharuan. Katanya, golongan penyokong itu akan menjauhkan diri daripada mereka yang berdepan tuduhan rasuah.
“Jadi ini (komen Rafizi) isu kecil dari segi sokongan (Umno) terhadap kerajaan perpaduan,” kata Syaza.
Beliau berkata, BN sedang berdepan isu lebih besar termasuk menambah baik prestasi pada pilihan raya, justeru kenyataan Rafizi kemungkinan besar tidak akan dihiraukan.
“Melainkan lebih banyak perubahan dibuat, penyokong Umno lebih berkemungkinan beralih kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya sambil menambah, ada kemungkinan berlaku undi protes.
Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia sebaliknya berpendapat, ada kemungkinan ahli Umno memboikot atau beralih kepada PN, sama ada PH menyokong pengampunan Najib atau tidak.
Beliau juga percaya kata-kata Rafizi itu tidak akan mencetuskan langkah BN meninggalkan kerajaan perpaduan.
“Alternatifnya lebih sukar diterima. Juga, keretakan dalam Umno jauh menjangkaui pengampunan Najib,” katanya.
“PH perlu memastikan Umno jelas bahawa pengampunan Najib ialah had yang tidak akan dilanggarnya, atas dasar tanggungjawab terhadap penyokongnya.”
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.