
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama membentuk kumpulan Ahli Majlis bagi melancarkan tadbir urus bandar raya itu.
Beliau berkata, Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang mentadbir cara bandar raya itu diuruskan, mesti dipinda untuk membolehkan Ahli Majlis dilantik bagi menambah baik kaedah berkomunikasi serta memberi maklum balas kepada penduduk.
“Saya sangat menuntut perkara ini. Saya ada lapan hingga sembilan kakitangan (di pusat khidmat) menangani semua aduan di kawasan kami.
“(Tugas ini) memerlukan tenaga kerja yang banyak,” katanya kepada FMT.
Pada masa ini, DBKL hanya mempunyai lembaga penasihat dianggotai 15 ahli dan dipengerusikan datuk bandar.
Mengikut Seksyen 6 akta tersebut, peranan lembaga hanya termasuk memberi nasihat kepada datuk bandar berhubung pentadbiran bandar dan menangani persoalan dirujuk kepadanya oleh kementerian atau datuk bandar.
Bagaimanapun, Kok berkata, ini tidak cukup.
“Ahli Majlis (boleh) memainkan peranan penting menanggung bebanan, dan mereka juga boleh memantau operasi DBKL,” katanya.
Cadangan disuarakan Kok itu mendapat sokongan ahli DAP yang juga exco Selangor, Ng Sze Han.
Ng berkata, pengenalan sistem Ahli Majlis di Kuala Lumpur boleh menambah baik pelaksanaan dasar di lapangan.
“Ahli Parlimen tidak mampu pergi ke semua tempat di kawasannya sekali gus. Justeru, mewakilkan kawasan kecil kepada Ahli Majlis menjadikan gerak kerja lebih pantas,” katanya.
Ng berkata, Selangor dibahagikan kepada 12 pihak berkuasa tempatan dengan keseluruhan 272 Ahli Majlis dilantik.
Beliau berkata, Ahli Majlis bertindak sebagai “orang tengah” antara pihak berkuasa dan rakyat.
Mereka akan memastikan orang awam faham proses kerajaan tempatan dan membantu mendapatkan tindakan susulan berhubung sesuatu isu daripada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Kok memuji datuk bandar dan DBKL kerana lebih menghormati dan mengiktiraf wakil politik di bandar raya itu.
“Sepanjang saya berada dalam blok pembangkang, kami perlu buat semuanya sendiri,” katanya sambil menambah, DBKL kerap “tidak melayan” surat-surat dihantar pejabatnya hanya disebabkan jajaran politiknya.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi itu semakin baik apabila datuk bandar dan pegawai kanan DBKL bermesyuarat sebulan sekali dengan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur, membincangkan masalah di kawasan masing-masing.