
PETALING JAYA: Bukan wang tetapi kotak minuman diberikan kepada dua anggota unit kereta peronda polis (MPV) seperti video tular di TikTok, kata Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati anggota itu menerima kotak minuman diberikan dua lelaki tempatan yang juga pemilik kilang di sebuah kawasan perindustrian di Kulai pada 3 Sept lalu.
Ketika kejadian, katanya, anggota itu sedang meronda dan berhenti di depan sebuah kilang kerana ada orang ramai berkumpul bagi perayaan “Hantu Lapar” yang diraikan masyarakat Cina.
“Polis buka kertas siasatan selepas laporan dibuat dua anggota MPV dan lelaki di dalam video yang juga pemilik kilang tersebut pada Rabu.
“MPV berhenti di depan kilang itu kerana ada orang ramai dan tanya jika ada sebarang masalah. Tindakan anggota itu tidak keluar dari MPV turut dipersoalkan dan menimbulkan persoalan apabila pemilik kilang keluar dan memberikan sesuatu.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati ia kotak minuman dan bukannya wang yang diberi,” katanya menurut Sinar Harian selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Johor Bahru.
Semalam, tular video 38 saat menunjukkan dua lelaki membelakangi rakaman video memberikan sesuatu kepada anggota polis dalam sebuah MPV.