
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad memberi taklimat kepada pemimpin kerajaan Kedah mengenai rancangan pembangunan ekonominya di bawah “state-government 4” atau SG4 lebih dua jam di kediaman rasmi menteri besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar pada Rabu.
Minggu lalu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, empat negeri pimpinan Perikatan Nasional bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali SG4, dengan Mahathir dilantik penasihat ekonominya.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Abu Hassan, berkata pelbagai rancangan membangunkan ekonomi Kedah dibincangkan dalam mesyuarat itu, termasuk pelaburan dalam sektor pelancongan, pertanian, infrastruktur dan pendidikan.
Dalam pertemuan itu, katanya, Mahathir berikrar menggunakan pengalamannya membangunkan Malaysia untuk membimbing Kedah dan tiga negeri lain di bawah SG4.
Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional (dari 1981 hingga 2003) dan 22 bulan lagi ketika Pakatan Harapan berkuasa pada 2018.
“Mahathir bernekad untuk melihat Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis membangun maju setanding negeri-negeri maju lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” kata Khairuddin dalam kenyataan.
“Ini untuk membuktikan negeri-negeri SG4 yang ditadbir kepimpinan Melayu juga boleh maju dengan cemerlang.
“Pada hakikatnya, Kedah dan negeri gabungan SG4 mempunyai potensi amat tinggi kerana kaya dengan hasil bumi. Mereka cuma memerlukan tatakelola dinamis bagi mencapai matlamat tersebut.”
Beliau berkata, Mahathir turut mengingatkan Kedah dan negeri SG4 melaksanakan transformasi kepimpinan, khasnya dalam memerangi rasuah, sebagai sebahagian agendanya untuk mengukuhkan ekonomi.
Semalam, penganalisis Azmi Hassan dilaporkan berkata, PAS sekadar mahu menggunakan bekas perdana menteri itu untuk mengukuhkan kepercayaan terhadap kerajaan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.