
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam fasa akhir perbincangan dengan pembekal perkhidmatan jalur lebar bagi membolehkan harga borong Internet ditawarkan pada kadar lebih murah, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi meminta perbincangan diselesaikan minggu depan bagi membolehkan proses selanjutnya iaitu pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan pembekal perkhidmatan jalur lebar.
Beliau berkata proses rundingan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai pihak namun hasilnya kelak, harga Internet akan berkurangan dengan agak signifikan.
“Sesi rundingan telah diadakan, saya percaya hampir capai kata putus. Insya-Allah saya jangka menjelang minggu depan akan dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KKD.
Pada 7 Ogos lepas, Fahmi dilaporkan berkata semua penyedia perkhidmatan Internet jalur lebar diarah untuk mengurangkan harga Internet bermula September selaras dengan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), yang menyaksikan harga borong Internet dikurangkan dan menjadi lebih murah.
Fahmi berkata pengurangan harga Internet itu juga bertujuan mengurangkan kadar inflasi dalam sektor telekomunikasi yang kini mereda daripada 0 peratus kepada -3.7 peratus pada Julai lepas.
“Dalam pentadbiran kerajaan perpaduan, kita berjaya turunkan kadar inflasi sektor komunikasi. Ini bermaksud kita memang akan tawarkan Internet pada harga murah,” katanya.
Pada 25 Ogos lepas, Fahmi dilaporkan berkata KKD akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban kewangan rakyat dalam sektor komunikasi selaras perkembangan positif kadar inflasi.