
PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya, Bersih meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan memansuhkan pencen wakil rakyat dan digantikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan selepas tamat berkhidmat.
Ini kerana kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann, ada Ahli Parlimen atau Adun yang hanya berkhidmat satu penggal bersamaan empat hingga lima tahun sebelum berundur, tetapi mereka tetap menerima pencen seumur hidup.
“Rakyat biasa seperti penjawat awam perlu berkhidmat dalam satu jangka lama atau sehingga bersara untuk menerima pencen mereka.
“Tambahan pula, ahli politik berkhidmat sebagai Adun, Ahli Parlimen atau menteri ini mendapat tiga pencen berasingan yang dilihat sangat tidak adil kepada rakyat,” katanya menurut Sinar Harian.
Semalam, ahli ekonomi, Muhammed Abdul Khalid mengemukakan cadangan itu dengan berkata, wakil rakyat patut “diajar” merasai kesempitan hidup dan kekangan kewangan dihadapi rakyat yang sering terjejas dengan kenaikan kos sara hidup.
Thomas berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mempertimbangkan perkara itu sebagai sebahagian reformasi politik.
“Melalui pembaharuan ini, kerjaya politik akan dilayan sama seperti bidang profesional lain dan bukan tiket untuk mendapatkan kehidupan mudah serta mewah.”