
PETALING JAYA: Kritikan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap kerajaan perpaduan baru-baru ini hanya akan memakan diri dan mengakibatkan partinya hilang sokongan, menurut penganalisis.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara menyifatkan kritikan terbaru Ahli Parlimen Muar terhadap kerajaan perpaduan itu bukan “langkah bijak”, dengan menambah tindakan itu pasti lebih membawa kerugian berbanding keuntungan untuk partinya.
Katanya, kelangsungan politik Muda masih bergantung kepada sokongan Pakatan Harapan (PH), iaitu komponen terbesar dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.
Apabila ditanya mengapa Muda tidak beralih kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat sokongan, Azmi berkata, tidak seperti MCA dan MIC, parti belia itu tidak dijemput menyertai gabungan pembangkang.
“Ini menunjukkan Muda tidak mempunyai pengaruh politik untuk menarik PN,” katanya.
Sebelum enam PRN baru-baru ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor berkata, gabungannya bersedia menerima MCA dan MIC untuk bertanding di kerusi campuran bagi pihaknya jika parti-parti itu meninggalkan BN susulan dakwaan “layanan tidak adil”.
MCA dan MIC masing-masing tidak menyertai PRN sebaliknya berkata akan fokus pada persediaan menghadapi PRU16.
Isnin lepas, Syed Saddiq menggelar pentadbiran Anwar sebagai kerajaan “Nato” (“no action, talk only”), mendakwa ia telah mungkir janji dibuat menjelang PRU15 untuk melaksanakan pembaharuan.
Syed Saddiq turut bertanya mengapa Ahli Parlimen pembangkang tidak diberi peruntukan sama rata. Tambahnya, blok kerajaan menerima antara RM3.8 juta hingga RM4.5 juta.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said bahawa kerajaan madani telah mengotakan janji untuk melaksanakan pembaharuan.
James Chin daripada Universiti Tasmania menyifatkan Syed Saddiq berlaku khianat, sedangkan kemenangan Muda di kerusi Parlimen Muar pada PRU15 antaranya hasil sokongan PH.
“Jika kamu (Syed Saddiq) terus menyerang PH, ia bererti kamu merosakkan peluang sendiri untuk dilantik semula,” katanya.
Tambahnya, Syed Saddiq mesti ingat bahawa Muda dan PH serupa dari segi ideologi dalam memperjuangkan reformasi.
Chin berkata, Muda tidak bertanding di kawasan luar bandar atau majoriti Melayu pada pilihan raya.
“(Muda) lazimnya bertanding di kawasan bandar, dan PH mendapat sokongan kuat di kawasan bandar,” katanya.