
PETALING JAYA: Pentadbiran Anwar Ibrahim digesa mencontohi langkah Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang tanpa syarat dan rundingan ketika menjadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengagihkan RM300,000 kepada semua wakil rakyat untuk menyediakan bakul makanan ketika Covid-19 melanda.
Mahathir pula ketika menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018 mengumumkan RM100,000 kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk urusan pusat khidmat masing-masing.
“(Selain itu) Menteri Besar dari negeri PN memberi peruntukan pembangkang di negeri masing-masing tanpa berunding, jadi apa lagi rundingan yang perdana menteri mahukan sedangkan kerajaan kata mereka stabil,” katanya kepada FMT.
Pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, Anwar membidas membidas pembangkang kerana menuntut peruntukan Ahli Parlimen tetapi enggan berbincang dengan kerajaan bagi merealisasikannya.
Menurutnya, kaedah rundingan itu sama seperti perlu dilalui Pakatan Harapan (PH) sewaktu menjadi pembangkang di era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang diberi mandat berunding dengan PN mendedahkan sehingga kini Ahli Parlimen pembangkang tidak menghantar surat memohon peruntukan, di sebalik pelawaan kerajaan.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan telah berunding dengan Fadillah.
Jika diberikan peruntukan, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS memberi jaminan mereka akan mengikuti prosedur perbelanjaan termasuk membuat laporan lengkap.
“Apapun pembangkang (ketika ini) akan tetap laksanakan tanggungjawab terhadap rakyat diwakili sekadar kemampuan,” katanya.
Ingat janji PH
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu pula berpendapat kenyataan Anwar yang menyifatkan pembangkang sombong sebagai tidak rasional kerana perbincangan bersama Fadillah telah dilakukan.
“Sebab itu saya tak nampak kenapa masih lagi tidak berikan peruntukan kepada pihak pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan PH berhubung janjinya pada 2022 untuk memberikan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.
“Pengagihan peruntukan di luar kawalan Ahli Parlimen tidak menyelesaikan masalah rakyat kerana mereka yang mendapat peruntukan daripada bukan Ahli Parlimen diundi (dianggap) tidak ada akauntabiliti oleh rakyat.
“Contoh diberi (kepada) pegawai daerah, mereka ini bukan rakyat cari dan tidak diundi… kami yang diundi, rakyat cari kami 24 jam,” tegasnya.