
PETALING JAYA: Polis selesai mengambil keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata keterangan bekas perdana menteri itu diambil susulan laporan dibuat 7 Sept lalu, berkait ucapan semasa berceramah pada PRK DUN Simpang Jeram.
“Semua soalan dijawab Muhyiddin,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Dilaporkan, Muhyiddin tiba di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada 9 pagi untuk temujanjinya dengan polis, berkait kenyataan mendakwa orang Melayu akan hilang kuasa.
Beliau dilihat keluar dari bangunan itu pada 11.58 pagi.
Shuhaily mengesahkan, siasatan dijalankan susulan kenyataan Ahli Parlimen Pagoh ketika ceramah mega PN pada 3 Sept, yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau, dan calon PN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.
Beliau berkata, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim turut dirakam keterangan hari ini, berhubung ciapan di laman X miliknya Ogos lalu.
“Ucapan ini dibuat 30 Ogos. Kenapa kita ambil masa panjang untuk ambil keterangan beliau, kerana kita terpaksa sahkan itu akaun sah dan dibuat orang yang kita syaki, Zaid sendiri, sebab itu ambil sedikit masa,” katanya.
Katanya, kedua-dua mereka memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang proses merakam keterangan.
“Ini memudahkan siasatan kita untuk cadangkan kepada pendakwa raya. Itu pendekatan bertanggungjawab. Kamu dah cakap kemudian kamu nyatakan pendirian kamu.
“Kecuali bila dah cakap….bila polis datang kemudian kamu enggan jawab itu ada sedikit kesusahan, kita akan siasat sebelum bawa ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Sementara itu, Shuhaily memaklumkan kertas siasatan membabitkan Hadi sudah dihantar kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini dilaporkan, Hadi dipanggil memberi keterangan berhubung laporan polis terhadap ucapannya dalam kempen PRK Simpang Jeram.