
PETALING JAYA: Murid dibenarkan memakai pakaian tradisi kaum sendiri dan kaum lain sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian, selaras garis panduan kerajaan berhubung aktiviti di sekolah.
Kementerian Pendidikan berkata sekolah yang terpalit kontroversi susulan dakwaan gurunya menghalang pelajar memakai pakaian tradisi kaum lain telah melakukan “penambahbaikan” pada penganjuran aktiviti susulan perbincangan dengan wakil ibu bapa dan murid.
“Isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan baik,” katanya dalam kenyataan.
Merujuk surat pekeliling 1984 yang membenarkan murid memakai pakaian tradisi yang bersesuaian dan sopan bagi aktiviti berkenaan, kementerian berkata murid sekolah terbabit boleh memakai pakaian tradisi serta hiasan tambahan seperti gelang, rantai, dan aksesori mengikut kesesuaian.
“Kementerian sentiasa menggalakkan penglibatan murid-murid dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.”
Terdahulu, FMT melaporkan seorang pelajar mendakwa guru di sekolahnya menghalang pelajar memakai pakaian tradisional kaum lain.
Menurut pelajar itu, sekolah di Lembah Klang itu hanya membenarkan pelajar berketurunan Cina memakai cheongsam atau hanfu, manakala pelajar berketurunan India tidak diberi peluang memakai sari.
Tangkap layar kumpulan WhatsApp guru dan ibu bapa yang dilihat FMT menunjukkan ibu bapa tidak berpuas hati dan mendesak guru memberikan penjelasan.