
PETALING JAYA: Pemerhati politik meragui “bisa” Dr Mahathir Mohamad untuk menarik pelabur asing, selepas bekas perdana menteri itu dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada empat negeri ditadbir PAS (SG4).
Diakui nama “Mahathir” digeruni dan dihormati badan dunia, namun Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berpandangan pada usia meniti 100 tahun, pergerakan dan kemampuan Mahathir amat terhad, tidak selari dengan peranan perlu dipikulnya.
“Walaupun Tun M dilantik, saya masih meragui beliau dapat melaksanakan tugas itu dengan berkesan pada usia yang sekarang.
“Untuk tarik pelabur asing, dia perlu ke luar negara lebih banyak … dengan hanya menjual nama Mahathir dalam negara, apa yang mereka dapat lakukan?,” katanya kepada FMT.
“Saya tak percaya itu dapat dilakukan dalam waktu singkat, dalam dua tiga tahun ini. (Memacu ekonomi) memakan masa yang panjang.”
Minggu lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata empat negeri PAS itu bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali sebagai “State-Government 4” atau SG4 bersama Mahathir.
Menteri besar SG4 ini akan membincangkan pelan tindakan, dengan Mahathir memainkan peranan tidak rasmi, antaranya dalam aspek tadbir urus dan hubungan dengan pelabur luar.
Jeniri berkata negeri ditadbir PAS itu seharusnya “memilih” Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai penasihat, memandangkan Ahli Parlimen Pagoh itu juga berpengalaman sebagai perdana menteri.
“Sepatutnya Muhyiddin yang pernah jadi PM dan ada pengalaman harus dilantik ke jawatan itu bukannya Mahathir, apatah lagi Mahathir sudah berusia hampir 100 tahun.
“Beliau tidak dapat lagi begitu aktif dalam peranannya. Matlamat mungkin tidak akan dapat dicapai.”
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat pemilihan Mahathir berbanding Muhyiddin, sebagai usaha mewujudkan persepsi negeri ditadbir PAS mempunyai “perdana menteri” cukup berpengalaman walaupun tidak bersama Putrajaya.
“Hakikatnya ini adalah persepsi untuk menunjukkan bahawa walaupun tidak bersama kerajaan perpaduan, mereka ada Tun M yang ada pengalaman luas dalam urus tadbir atau tatakelola negara dan negeri.”
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagaimanapun berpandangan pengalaman Mahathir menerajui negara untuk beberapa dekad sudah pasti meletakkan Muhyiddin di belakang.
“Muhyiddin ada pengalaman itu tetapi kerajaan beliau pun hanya setahun lebih sahaja, jadi kita nampak Tun M mungkin mempunyai lebih kekuatan di situ.”
Beliau juga percaya hubungan Bersatu dan PAS tidak seteguh seperti telahan ramai pihak, dan melihat hubungan dua parti itu ibarat “sedang berurus niaga”.