
PETALING JAYA: Penunggang motosikal yang tular kerana merempuh penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya, pada Ahad, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas dia mengaku bersalah. Menurut Harian Metro, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, daripada menjalankan fungsi amnya dalam operasi pasukan.
Kesalahan itu dilakukan pada 17 Sept lalu, kira-kira 11 pagi di KM28 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.
Khairul didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
Dia yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Izzaty Mohd Zainal mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mampu memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.
Media sebelum ini melaporkan video tular memaparkan penguat kuasa JPJ terpelanting selepas dirempuh tertuduh, ketika sekatan jalan raya.