
KUALA LUMPUR: Keharmonian masyarakat di Sarawak wajar dijadikan model untuk memupuk perpaduan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, di Sarawak latar belakang sesebuah komuniti tidak menimbulkan perasaan negatif, dan rakyatnya boleh hidup sebagai keluarga tanpa mengira budaya dan kepercayaan.
Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu menegaskan Sarawak memainkan peranan menghidupkan semangat ‘keluarga besar’ di negara ini.
“Kita hidup sebagai ‘keluarga besar Sarawak’ dan inilah terus diamalkan sehingga kini. Persefahaman, serta sikap saling menghormati dan membantu begitu kuat dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Semoga Semenanjung pun dapat hidup dalam keadaan harmoni dan kurangkan segala pertelagahan ketika ini,” katanya ketika berucap di majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Petronas dan Yayasan Sarawak.
Yayasan Sarawak dan Petronas bekerjasama untuk menaja pelajar Sarawak melanjutkan pelajaran di sekolah menengah di Semenanjung menerusi program pertukaran pelajar.
Fadillah menyeru pelajar terpilih menunjukkan contoh dalam usaha memupuk integrasi nasional dan hubungan antara rakyat.
“Inilah peluang untuk bergaul, bertukar pandangan, dan lebih utama untuk mendapat pengalaman hidup di luar lingkungan atau kawalan orang tua,” katanya.