
KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus diberi peluang sekurang-kurangnya setahun sebelum prestasinya dinilai dalam melaksanakan reformasi dijanjikan, kata kartunis Zunar.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Haque berkata, ketika ini Anwar perlu diberi sokongan untuk “membersihkan segala masalah” dalam negara.
“Sekarang Anwar dalam keadaan ‘house cleaning’. Ibarat masuk rumah, sofa berterabur dan sampah macam-macam.
“Tahun ini bagi dia peluang untuk cuci rumah baru. Tahun depan kita nilai Anwar boleh lakukan reformasi atau tidak,” katanya dalam forum Reformasi 25 tahun di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Zunar yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) berkata, beliau mahu membantu kerajaan perpaduan kekal dan Anwar terus menjadi perdana menteri.
Beliau akan membantu mengajar anak muda memahami dasar kerajaan melalui lukisannya.
“Ini bukan ampu tetapi nak beri sokongan. Kita jangan terperangkap dengan pembangkang,” katanya.
Reformasi baru-baru ini digelar “reformati” susulan perkembangan realiti politik yang memerlukan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU15.
Terkini, keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi menebalkan lagi persepsi bahawa “reformasi sudah mati” oleh pembangkang.