
PETALING JAYA: Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) ditubuhkan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di pasaran, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Katanya, melalui KSPDS pihaknya komited mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tempatan.
“Kepada rakyat Selangor, jika terdapat sebarang masalah bekalan, anda boleh menghubungi KSPDS di talian 03 32898419 atau 017 2230771 untuk bercakap secara terus atau melalui WhatsApp,” katanya dalam sidang media.
Dalam pada itu, Amirudin berkata bekalan beras putih tempatan di Selangor cukup hingga hujung bulan ini.
Beliau berkata, Selangor memerlukan kira-kira 45,500 tan beras sebulan untuk kegunaan lebih enam juta rakyat dan berdasarkan bekalan ketika ini ia mencukupi.
“Sebenarnya, setakat ini (September), kita masih mempunyai baki sekitar 20,000 tan beras yang mana ia cukup untuk kegunaan sehingga hujung bulan ini.
“Malah, semalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sudah memanggil pihak Kawal Selia Padi dan Beras Selangor dan jaminan diberikan mereka yang kita akan mendapat tambahan bekalan berikutan musim menuai di utara Selangor dan utara Semenanjung bermula akhir bulan ini,” katanya.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kementeriannya giat melaksanakan langkah intervensi bagi menampung kekurangan beras tempatan sebelum bekalan kembali stabil sebulan lagi.
Mohamad berkata, langkah itu turut dilakukan pihaknya ketika proses menstabilkan bekalan ayam dan telur yang turut menghadapi masalah sama.
Katanya, rakyat diminta tidak membuat pembelian panik berikutan khuatir bekalan beras tempatan tiada di pasaran kerana masalah kekurangan yang berlaku sedang diatasi segera.