
PUTRAJAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu), yang membolehkan maklumat dikongsi antara pelbagai cabang kerajaan, kini siap 60%, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Dalam sidang media, Rafizi berkata, kerajaan akan menguji sistem itu pada November sebelum boleh digunakan oleh orang ramai pada Januari, untuk pengesahan maklumat peribadi.
“Setakat ini, proses membangunkan sistem itu, yang mana menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di Malaysia, berjalan lancar mengikut garis masa seperti dirancang.
“Jika semuanya baik, Padu akan sedia mengumpul keseluruhan data rakyat Malaysia pada Januari 2024,” katanya.
Pada Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Padu diwujudkan untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.
Rafizi berkata, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang omnibus tahun depan untuk membenarkan perkongsian data antara kementerian dan agensi.
Pada Selasa, beliau berkata, rang undang-undang itu memudahkan kerajaan kerana tidak perlu meminda setiap akta yang memberi kuasa kepada kementerian atau agensi masing-masing.