
PETALING JAYA: Pengerusi Bersih Thomas Fann dan aktivis sosial Maria Chin Abdullah menentang gesaan bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kerajaan persekutuan mempertimbang memansuhkan pilihan raya kecil (PRK).
Fann berkata, bawah sistem pengundian “first-past-the-post” (pemenang undi terbanyak) yang diamalkan di negara ini, pengundi berhak diwakili oleh calon pilihan mereka.
Ini bermakna PRK untuk mengisi kerusi yang kosong dalam tempoh penggal legislatif tidak dapat dielakkan, katanya.
“Bukan semua orang mengundi mengikut parti mereka. Segelintir mengundi berdasarkan rekod prestasi calon,” kata Fann kepada FMT.
Beliau berkata, kebanyakan parti politik mungkin akan menolak sebarang usul untuk memansuhkan PRK kerana semua parti akan bertegas untuk dibenarkan membuat tuntutan terhadap kerusi yang kosong.
Awal minggu ini, bekas timbalan ketua SPR Wan Ahmad Wan Omar mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengkaji semula keperluan PRK “dalam konteks demokrasi politik negara”.
Menurut Utusan Malaysia, Wan Ahmad mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan parti penyandang yang mengosongkan kerusinya terus berkhidmat di kawasan terbabit.
Beliau berkata, langkah itu berpotensi membolehkan kerajaan jimat jutaan ringgit.
Menurut Wan Ahmad, kerajaan lazimnya membelanjakan antara RM4 juta hingga RM6 juta untuk setiap PRK kerusi Parlimen, dan antara RM1.5 juta hingga RM3 juta untuk PRK kerusi DUN.
Bagaimanapun, Maria, bekas pengerusi Bersih dan Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, penjimatan kos bukanlah alasan yang cukup kukuh untuk mewajarkan pemansuhan PRK.
“Demokrasi ada kosnya,” katanya kepada FMT.
Maria juga berkata, langkah tidak mengadakan PRK bercanggah dengan prinsip demokrasi Malaysia.
“PRK bukan mandat parti pemerintah. Ia mandat yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
“Jika kita mahu bangunkan Malaysia yang demokratik, mandat rakyat paling penting.”
Fann berkata, PRK boleh dielakkan dengan beralih kepada sistem senarai perwakilan berkadar tertutup. Menerusi sistem ini, rakyat mengundi parti politik, bukannya calon.
Sebuah parti politik akan membuat senarai calon bagi setiap kerusi sebelum pilihan raya.
“Ini bermaksud orang seterusnya dalam senarai parti itu akan menggantikan penyandang kerusi DUN atau Parlimen yang meninggal dunia,” katanya.
PRK keempat tahun ini akan diadakan di Pelangai, Pahang, pada 7 Okt berikutan kematian Adun Umno Johari Harun dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos.
Bulan lepas, PRK diadakan bagi kerusi DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai selepas penyandangnya, Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Julai. Kedua-kedua kerusi itu kemudian dimenangi calon PH pada PRK.
Pada 15 Sept, Adun Jepak enam penggal, Talib Zulpilip meninggal dunia, mencetuskan PRK di Sarawak.
Utusan Malaysia melaporkan, 16 PRK diadakan antara pilihan raya umum 2008 dan 2013; 12 antara 2013 dan 2018; dan 12 lagi antara 2018 dan 2022.