
ALOR GAJAH: Identiti mayat hampir reput dipercayai dibunuh yang ditemukan berhampiran sebuah kebun kelapa sawit di Pulau Sebang di sini pada 16 Sept lepas telah dikenal pasti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata identiti mayat berkenaan ialah merupakan lelaki tempatan iaitu R Darvnrajh, 24, yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Tampin, Negeri Sembilan sejak 10 Sept lepas.
“Pada 20 Sept lepas polis telah memperoleh keputusan DNA yang dijalankan ke atas pasangan suami isteri yang mengaku sebagai ahli keluarga R Darvnrajh dan mendapati ia adalah sepadan dengan DNA mangsa.
“Justeru, satu operasi khas iaitu Op Kejam telah ditubuhkan melibatkan sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah IPK Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi Op Kejam yang dijalankan, enam individu berusia 18 hingga 26 tahun yang merupakan rakan mangsa ditahan di sekitar Tampin, Negeri Sembilan pada minggu lepas.
Katanya, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas semua enam suspek berkenaan dan mendapati mereka bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Zainol berkata siasatan awal yang dijalankan terhadap semua suspek yang ditahan mendapati mangsa dibunuh ekoran dendam lama kerana suspek pernah ditahan disebabkan laporan polis dibuat keluarga mangsa berkaitan mercun pada perayaan Deepavali tahun lepas.
Beliau berkata semua suspek tersebut ditahan reman sehingga 24 Sep ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, sekiranya sabit kesalahan.
Pada Isnin, media melaporkan satu mayat tanpa identiti yang hampir reput dipercayai dibunuh, ditemukan berhampiran sebuah kebun kelapa sawit di Pulau Sebang di sini pada 16 Sept lepas.
Mayat dipercayai lelaki warga tempatan itu dijumpai kira-kira 10 pagi selepas orang awam terhidu bau busuk di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit berkenaan dan hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan dan kepala mangsa dipercayai ditikam menggunakan objek tajam.