
KANGAR: Perbuatan sepasang suami isteri etnik Rohingya yang menjalankan kegiatan memalsukan dokumen untuk pelarian dengan berselindung di sebalik operasi madrasah al-Quran, terbongkar selepas Jabatan Imigresen menjalankan serbuan di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat semalam.
Pengarah Imigresen Perlis Khairul Amin Talib berkata, dalam Op Serkap pada 10 pagi itu, anggota penguat kuasa menahan pasangan berusia 24 dan 30 tahun yang turut menjadi guru al-Quran di madrasah terbabit, selain jurunikah bagi pasangan etnik Rohingya.
“Daripada tujuh rumah diperiksa, sebuah rumah yang disewa oleh komuniti Rohingya sebagai madrasah untuk mengajar kanak-kanak etnik Rohingya mengaji didapati turut dijadikan pusat operasi kegiatan pemalsuan Surat Dalam Proses Pertimbangan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya kepada pemberita.
Hasil operasi itu, sebanyak 200 keping surat berkenaan dan 100 keping surat nikah dalam bentuk digital yang dipercayai palsu berjaya dirampas selain dua komputer, dua telefon bimbit, satu pemacu kilat USB, dua unit kad memori (kad SD) dan dua set kad perniagaan.
Turut dirampas, dua buku rekod bayaran proses serta wang tunai RM5,300 yang ditemukan disorok di bawah tilam suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan pelanggan menerusi platform media sosial dan menghantar dokumen palsu itu dalam bentuk digital dengan mengenakan bayaran RM50. Pelanggan perlu mencetak sendiri dokumen itu,” katanya.
Khairul Amin berkata, suspek utama disiasat mengikut Seksyen 56(1A) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), manakala isterinya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Kedua-dua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam.