
KEPALA BATAS: Seorang lelaki meninggal dunia semalam selepas sembilan hari bertarung nyawa akibat terjatuh pada ketinggian 4.59m ketika menjalankan kerja menukar siling sebuah institusi kemahiran di sini pada 12 Sept lalu.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa berusia 48 tahun itu merupakan pekerja sub kontraktor dilantik untuk melakukan tugas senggaraan dan pembaikan di institusi berkenaan.
Katanya, majikan mendirikan perancah “A frame” sebagai pelancar kerja sebelum mangsa dipercayai terjatuh dari pelantar kerja yang patah dalam kejadian 5 petang itu dan JKKP Pulau Pinang terus ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan.
“Mangsa yang merupakan warga tempatan bersama dua pekerja lain sedang menukar siling berhadapan pentas di dewan institusi terbabit, sebelum terjatuh dari ketinggian 15 kaki (4.59m) dan dia yang tidak sedarkan diri berikutan kecederaan dialaminya, dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.
“Mangsa menerima rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia semalam dan susulan itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan satu notis larangan terhadap kontraktor terbabit menjalankan kerja di tempat tinggi sehingga langkah sewajarnya diambil.”
Pada masa sama, JKKP Pulau Pinang akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak bertanggungjawab jika terdapat pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Katanya, majikan mempunyai kawalan penuh bagi sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab mengenal pasti bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan kawalan risiko berkesan sebelum pekerja menjalankan kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja dan mengelakkan kemalangan berlaku.
“Kemalangan seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko.”