
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor akan nyah rahsia laporan penuh tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali yang meragut 31 nyawa pada 16 Dis 2022.
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata proses nyah rahsia itu akan mengambil masa selewat-lewatnya tiga minggu bagi membolehkan dokumen itu didedahkan.
“Kerajaan negeri tiada masalah dedahkan laporan tersebut kepada orang awam, namun dokumen itu masih tertakluk bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Justeru, kerajaan negeri akan mengeluarkan dokumen itu daripada OSA untuk disiarkan. Perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat exco dalam masa terdekat,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan B23 Jalan Sungai Tua dan Kampung Bendahara di Gombak.
Amirudin berkata, mesyuarat exco itu tidak dapat diadakan minggu depan kerana beliau mempunyai urusan di luar negara, justeru ia dijadualkan berlangsung dua minggu lagi.
Katanya, dokumen itu akan dimuat naik ke laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan laman berkaitan selepas proses nyah rahsia selesai untuk diakses orang ramai.
Tanah runtuh pada awal pagi 16 Dis lalu meragut 31 nyawa, termasuk 13 kanak-kanak. Seramai 61 lagi mangsa diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Sebelum ini, mangsa terselamat dalam kejadian itu memohon kerajaan mendedahkan laporan siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh itu sudah dibentangkan ke Jemaah Menteri.