
PETALING JAYA: Umno dijangka mampu mempertahankan DUN Pelangai pada PRK akan datang, meskipun pemimpin veteran Adnan Yaakob dilapor berkata parti itu “dah nak bungkus”.
Azmi Hassan, seorang penganalisis politik di Akademi Nusantara percaya kehadiran Adnan pada acara pengumuman calon Barisan Nasional kelmarin menunjukkan Umno dapat menggembleng sokongan orang kuat dan akar umbi parti di Pelangai.
Adnan merupakan bekas menteri besar Pahang (1999-2018) dan bekas Adun Pelangai (1986-2022).
“Adnan orang kuat kawasan itu. Benar Adnan mengatakan Umno dah ‘tak ada’ tapi itu dulu. Sekarang saya pasti Adnan akan bersama calon BN,” kata Azmi kepada FMT.
Dilaporkan Adnan mendakwa Umno “dah nak bungkus” menerusi satu video tular pada Ogos, selepas beliau berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercayai bagi kes membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Adnan dilihat menyertai pimpinan BN lain pada majlis pengumuman calon bagi PRK Pelangai, kelmarin.
“Saya menjangkakan BN mengekalkan DUN Pelangai tetapi dengan majoriti agak kurang, kerana kita tahu peralihan citarasa Melayu dan penyokong Umno mula beralih kepada PN.”
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandang, Johari Harun dalam nahas pesawat di Shah Alam 17 Ogos lalu.
Pada PRU15, Johari berjaya mempertahankan Pelangai dengan majoriti lebih 4,000 undi. Ia terletak dalam Parlimen Bentong yang dimenangi Pakatan Harapan, yang turut memenangi dua DUN lain di bawahnya, Bilut dan Ketari.
Azmi percaya sentimen penduduk terhadap Johari yang disenangi masyarakat, serta kerjasama dengan PH akan membantu peluang BN. “Mengekalkan kerusi itu mungkin tidak menjadi masalah.”
Sementara itu, Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata BN meraih melebihi 50% undi di Pelangai pada PRU15. Pada pilihan raya lalu BN meraih 7,308 undi, PN 3,260 undi, dan PH 2,031 undi.
“Sekarang BN dan PH bergabung memang sukar buat PN,” katanya, dan menambah kedudukan BN-PH sebagai kerajaan negeri dan persekutuan juga suatu kelebihan.
“Sentimen Melayu-Islam serta protes orang Umno yang mungkin lari kepada PN akan menjadi faktor penentu,” tambahnya.