
PETALING JAYA: Seorang pengawal peribadi ditahan kerana disyaki menyamar anggota polis dan menayang pistol demi menemui teman wanitanya di sebuah kawasan perumahan di Bandar Sungai Long, Kajang.
Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata laporan diterima semalam daripada seorang pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu.
Katanya, mangsa didatangi suspek yang mahu memasuki kawasan perumahan di Bandar Sungai Long itu untuk menemui teman wanitanya.
“Mangsa kemudian meminta pengenalan diri daripada suspek untuk didaftarkan sebagai pelawat, namun suspek enggan memberi kerjasama dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek yang berang kerana mangsa tidak mempercayainya, bertindak membuka pintu kereta dan menunjukkan sepucuk pistol terselit di pinggang.
Katanya, pengawal keselamatan itu membenarkan suspek memasuki kawasan perumahan terbabit selepas dimaki hamun dan ditakutkan mangsa.
Zaid berkata, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan bersama sepucuk pistol dan 10 butir peluru hidup oleh sepasukan anggota polis Cawangan D7 IPD Kajang.
“Semakan mendapati suspek bukan anggota polis, sebaliknya bekerja sebagai pengawal peribadi persendirian dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan,” katanya sambil menambah suspek mempunyai surat kebenaran untuk membawa dan menggunakan pistol itu bagi penugasan syarikat.
Beliau berkata, suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing didapati negatif.
Katanya, suspek direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506/170 Kanun Keseksaan/ 8(a) Akta Senjata/ 14 Akta Kesalahan Kecil kerana melakukan ugutan sehingga menyebabkan ketakutan dan menyamar anggota polis.