
PETALING JAYA: Pertambahan pengundi Melayu di Parlimen Muar berpotensi memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional, sekiranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi itu sekarang, menurut penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata PN berjaya merampas DUN Maharani bawah Parlimen itu daripada Pakatan Harapan pada PRN Johor tahun lalu, di sebalik pertambahan pengundi Melayu di kerusi DUN tersebut.
“Tambahan pengundi Melayu agak besar. DUN Maharani itu DUN PAS. Itu akan menjadi sedikit ada kelebihan kepada PN,” kata Hisomuddin kepada FMT.
Malah, Hisomuddin percaya Syed Saddiq yang juga presiden Muda tidak akan mampu mempertahankan Muar ketika ini, sekiranya bertanding secara bersendirian.
“Muda tak dapat membuktikan ‘market share’ pengundi mereka yang jelas,” katanya, dan menambah prestasi parti itu pada pilihan raya sebelum ini menunjukkan Muda tiada kekuatan signifikan.
Kemenangan dua penggal Syed Saddiq di kerusi itu katanya disebabkan sokongan pengundi PH, tegas Hisomuddin. “Melainkan Muda lakukan kerjasama politik dengan PN.”
Mazlan Ali, seorang pensyarah di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia bagaimanapun mengingatkan PN tidak mudah menerima parti lain, malah pernah menolak permohonan menyertai gabungan itu.
“Kalau nak terima perlu timbang pembahagian kerusi… ini semua kerusi Melayu. Sebab itu Pejuang tak boleh sampai sekarang,” katanya.
Mazlan berkata data yang diperolehi menerusi tinjauan mendapati Muda sepertimana Pejuang tiada kekuatan. “Kalau ditanya responden yang sokong Muda hanyalah 0.2 hinggalah 2% ke 3%.”
Pada PRN Johor, calon PN memperoleh 7,559 undi berbanding calon PH (6,522 undi), calon BN (5,861), dan tiga calon lain, untuk menang dengan majoriti 1,037 undi.
Syed Saddiq enggan mengosongkan Parlimen Muar walaupun didesak pelbagai pihak, selepas meninggalkan blok kerajaan.
Mazlan berkata ketika ini kemungkinan pilihan raya berlaku di Muar bergantung kepada kemajuan perbicaraan Syed Saddiq di mahkamah.
Syed Saddiq sedang membela diri terhadap empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang.
“Kalau sebelum tiga tahun dia jadi wakil rakyat akan ada PRK di Muar,” katannya.