
PETALING JAYA: Sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu di Permatang Pauh, Pulau Pinang diteruskan minggu depan susulan kebakaran petang tadi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata mekanisme itu akan ditentukan sama ada menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) atau kelas ganti.
Katanya, blok bangunan terjejas akibat kebakaran itu ditutup sementara atas tujuan keselamatan.
“Kita akan berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri mengenai mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan anak-anak di sini terus mendapat pendidikan.
“Buat masa ini, tindakan untuk memastikan keselamatan keseluruhan termasuklah pendawaian dan sebagainya,” katanya menurut Sinar Harian selepas meninjau keadaan sekolah itu.
Terdahulu, Bernama melaporkan tiga bilik darjah di sebuah blok empat tingkat di SK Permatang To’ Kandu musnah sepenuhnya, manakala dua lagi kelas terbakar lebih 40%.
Tiada kemalangan jiwa membabitkan guru, murid atau petugas kerana kebakaran berlaku selepas waktu persekolahan sesi petang.
PegawaI Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azhar Ahmad dilaporkan berkata, panggilan kecemasan diterima pada 6.06 petang dan api dikawal daripada merebak 10 minit kemudian.
Fadhlina berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 14 hari untuk melakukan penilaian menyeluruh kerosakan, sebelum meluluskan bantuan bencana kepada pihak sekolah.