
PUTRAJAYA: Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah mesti dianugerahkan ganti rugi RM750,000 sekiranya Mahkamah Rayuan mendapati baginda difitnah Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, dan dua individu lain.
Vishnu Kumar, selaku peguam sultanah, meminta mahkamah mempertimbangkan nama baik baginda, sifat kenyataan terbabit, dan takat penerbitan.
Beliau berkata mahkamah juga patut mengambil kira Rewcastle Brown enggan memohon maaf apabila dituntut berbuat demikian.
“Baginda pernah menjadi Raja Permaisuri Agong, canselor dua universiti, dan terlibat dengan kerja-kerja amal,” katanya ketika menghujahkan jumlah ganti rugi sekiranya defend didapati boleh dipertanggungjawabkan.
Vishnu berkata, Rewcastle Brown dalam keterangannya kepada Mahkamah Tinggi tahun lepas berkata kira-kira 2,000 salinan buku dijual kepada orang ramai. “Kenyataan itu juga berlaku di kemuncak skandal 1MDB.”
Vishnu yang tampil bersama Haaziq Pillay Abdullah berkata Rewcastle Brown tidak menyatakan sebarang kekesalan sebelum kes dibicarakan. “Defendan berkata terdapat pembetulan dalam cetakan pertama buku itu, tapi malangnya tiada minta maaf.”
Perbicaraan ini didengari Hakim Hadhariah Syed Ismail, bersama Zaini Mazlan dan Azahari Kamal Ramli.
Vishnu berkata sultanah tidak menuntut ganti rugi yang dahsyat walaupun penyata tuntutannya menuntut RM100 juta daripada setiap defendan.
Sementara itu, Americk Sidhu, yang mewakili Rewcastle Brown, Chong Ton Sin selaku penerbit, dan Vinlin Press Sdn Bhd selaku pencetak, berhujah sultanah berhak diberi jumlah ganti rugi nominal (nominal sum in damages) sekiranya dapatan mahkamah memihak kepadanya.
“Beliau dan Sarawak Report telah berjasa kepada rakyat dan negara dengan mendedahkan skandal kewangan 1MDB,” katanya.
Americk berkata sekiranya anak guam beliau didapati boleh dipertanggungjawabkan, maka sultanah berhak diberi jumlah ganti rugi yang kecil memandangkan keadaan kes.
Katanya lagi, defendan dari awal mengaku bahawa ini kes salah orang (mistaken identity) kerana Rewcastle Brown dalam petikan yang dipersoalkan ingin merujuk pada kakak kepada sultan Terengganu dan bukan sultanah.
“Kesilapan tidak bererti petikan yang dipersoalkan itu bersifat fitnah,” katanya.
Hadhariah berkata sidang hakim perlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan menetapkan 12 Dis untuk menyampaikan keputusan.
Sultanah Nur Zahirah memulakan saman RM300 juta pada 2018, berhubung kenyataan membabitkan Lembaga Pelaburan Terengganu dalam buku “The Sarawak Report-The Inside 1MDB Expose”, yang menceritakan siasatan Sarawak Report ke atas skandal 1MDB.
Sultanah mendakwa kenyataan itu mencadangkan baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri serta menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan TIA, yang kemudian dikenali sebagai 1MDB.
Sultanah juga mendakwa kenyataan itu boeh membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, menjadi penasihat TIA.
Rewcastle Brown ketika membela diri mendakwa dia telah melakukan “kesilapan yang tidak disengajakan” ketika menyatakan “pemain utama” dalam kenyataan yang dipersoalkan itu sebagai “isteri sultan”.