
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengkritik gesaan setiausaha politik kerajaan agar Radzi Jidin digantung atas tingkah lakunya yang didakwa biadab di dalam Dewan Rakyat.
Menyifatkan gesaan itu sebagai “tidak wajar”, Zuraida berkata, pertelingkahan antara Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu dengan perdana menteri ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merupakan “interaksi yang biasa berlaku di dalam Parlimen”.
“Sekalipun jika terdapat sebilangan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak senang dengan kenyataan yang dikeluarkan (oleh Radzi), perdebatan antara Ahli Parlimen di dalam Dewan adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Sebaliknya, tindakan mengarahkan Radzi (PN-Putrajaya) keluar Dewan adalah “amat tidak demokratik”, katanya.
“…sedangkan yang melakukan provokasi dengan mengeluarkan kenyataan tuduhan adalah Ahli Parlimen Tambun (Anwar Ibrahim).
“Saranan-saranan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada Ahli Parlimen Putrajaya itu bukanlah satu tindakan yang wajar kerana ia menyekat kebebasan Ahli Parlimen untuk bersuara.”
Zuraida, kini timbalan presiden NGO Muafakat Nasional, juga menuduh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bersikap berat sebelah apabila mengarahkan Radzi keluar Dewan.
Dua hari lepas, Majlis Setiausaha-setiausaha Politik Kerajaan menuntut agar Radzi digantung atas “kelakuan biadabnya”.
Pengerusi majlis, Shamsul Iskandar Md Akin menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk memulakan usaha untuk menggantung Radzi.
“Ini sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen. Tindakan biadab Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Radzi diarahkan keluar Dewan selepas membidas Anwar dan terlibat dalam pertikaman lidah dengan penyokong kerajaan. Sebagai protes, Ahli Parlimen PN lain turut meninggalkan Dewan.
Radzi berulang kali menuntut Anwar menarik balik kenyataan dibuat terhadap diri dan partinya, mencelah ucapan penggulungan perdana menteri di dalam Dewan.
Sebelum itu, Anwar ketika menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi berkat, Radzi boleh ketawa “kerana kamu buat perkara itu, masa pentadbiran (PN) kamu buat perkara itu”.