
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz memohon Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat sama ada beliau menghisap vape atau tidak.
Katanya, ia perlu untuk mengetahui keadaan sebenar sekali gus menjawab tuduhan dilemparkan terhadapnya.
“Dari CCTV kita akan dapat gambaran jelas, kita boleh tahu keadaan sebenar. Bukan hisap pun, cuma pen diletak di bibir secara spontan sahaja,” kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada FMT.
Ikmal memaklumkan sudah menerima surat memohon penjelasan daripada Johari dan akan menjawabnya sebelum 28 Sept ini.
Beliau juga akan memohon Johari meminta semua gambar yang dirakam jurugambar perdana menteri ketika itu.
Sementara itu, Ikmal memaklumkan pihaknya membuat laporan polis dan akan meneruskan dengan tindakan saman fitnah.
“Bagi saya jelas beliau (jurugambar) berniat jahat memfitnah. Saya fikir beliau jurufoto profesional sudah pasti mengambil banyak gambar.
“Saya percaya dalam gambar yang diambil beberapa kali sudah pasti membuktikan saya tak pegang vape pun, tapi pen. Tapi seolah-olah (dia) memilih gambar yang boleh mengelirukan.
“Jadi, peguam saya akan menghantar surat tindakan memohon maaf dan tindakan selanjutnya untuk saman beliau,” katanya.
Terdahulu, Ikmal menafikan dakwaan menghisap vape di Dewan Rakyat susulan gambarnya tular di media sosial, sebaliknya mendakwa apa dipegangnya ketika itu adalah pen.
Gambar itu diambil jurugambar perdana menteri ketika Ikmal keluar dari Dewan Rakyat 20 Sept lalu.