
GEORGE TOWN: Seorang wanita warga Indonesia berdepan detik menakutkan apabila dicederakan di seluruh badan ketika diculik sekumpulan lelaki selama 10 hari dan disembunyikan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, angkara suaminya gagal membayar hutang sebanyak RM540,000.
Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata mangsa berusia 34 tahun dan berasal dari Medan itu diculik pada 7 September lalu, ekoran suaminya juga warga Indonesia dipercayai berhutang dengan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan kontraktor, berkaitan perniagaan mereka.
“Mangsa bersama tiga rakan wanitanya sedang bercuti di sini diculik tiga lelaki di kawasan Paya Terubong, namun kawan-kawannya dilepaskan tanpa dicederakan oleh suspek manakala wanita itu dibawa ke Butterworth, untuk dikurung di situ.
“Suspek utama kemudian meminta wang tebusan daripada suami mangsa yang berada di Indonesia sebelum mangsa dilarikan serta dikurung di beberapa lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar.
Katanya, suami mangsa berusia 47 tahun yang juga ahli perniagaan membuat transaksi pembayaran berjumlah RM50,750 menerusi pengurup wang namun isterinya masih tidak dilepaskan sebelum suspek meminta bayaran tambahan RM540,000 dan dia terus ke Malaysia kerana bimbang keselamatan wanita itu.
Khaw berkata suaminya bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kinrara, Selangor pada 15 September lepas dan bertindak daripada maklumat tersebut polis melancarkan Op Scorpion Rantai bagi mengesan suspek serta menyelamatkan mangsa.
Katanya polis berjaya menyelamatkan wanita itu dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 5.15 pagi 17 September dan siasatan juga mendapati mangsa dikurung selama tiga hari di Butterworth, empat hari di Puchong dan tiga hari di Shah Alam.
“Suspek dipercayai bertindak mengurung mangsa di beberapa lokasi berlainan untuk menyukarkan polis mengesan lokasi wanita tersebut. Semasa serbuan di rumah itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Indonesia yang turut diculik kumpulan berkenaan namun dia tiada kaitan dengan kes wanita itu,” katanya.
Beliau berkata wanita itu ketika diselamatkan berada dalam keadaan cedera di seluruh badannya dan mangsa dipercayai diikat, dicucuh dengan puntung rokok, dicucuk dengan jarum pada kukunya, dipukul, tangan dan kaki diikat pengikat kabel malah turut dirantai.
“Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan lemah dengan keadaan seluruh tubuhnya mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa diberi makan oleh suspek. Wanita itu yang merupakan peniaga dalam talian kini dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Khaw berkata hasil siasatan lanjut mendapati suspek utama adalah rakan perniagaan suami mangsa. Suami wanita itu dipercayai berhutang wang perniagaan dan gagal membayarnya, menyebabkan lelaki itu berang sebelum menculik wanita tersebut.
Katanya mereka berdua merupakan kontraktor dan menjalankan perniagaan bersama di Kuala Lumpur dan suspek yang menyedari wang perniagaan tidak dibayar bertindak menculik mangsa bagi mendapatkan duitnya semula.
“Pihak polis merampas beberapa barangan antaranya 23 telefon bimbit, 36 pengikat kabel, wang tunai RM4,800, rantai besi dan batang besi. Kami turut menyita empat kenderaan termasuk kereta yang digunakan untuk membawa lari mangsa,” katanya.
Beliau berkata hasil operasi itu polis menahan 14 individu termasuk dua warga asing yang semuanya berusia 23 hingga 70 tahun di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Perak dan Kuala Lumpur pada hari yang sama mangsa diselamatkan.
“Mereka yang ditahan adalah suspek utama berusia 35 tahun, sembilan lelaki warga tempatan, dua wanita warga tempatan dan dua lelaki warga asing, semua mereka mempunyai peranan masing-masing dalam kes culik tersebut,” katanya.
Menurutnya lima daripada yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan kesemua mereka direman tujuh hari sehingga 23 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.