
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor tidak bersetuju dengan cadangan menggantikan pencen wakil rakyat dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, sambil kesal dengan anggapan tanggungjawab mereka ‘kerja senang’.
Di samping peranan di dewan legislatif, menurut beliau seorang wakil rakyat juga perlu menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.
Ketika ini, terdapat 222 kawasan Parlimen dengan yang terbesar Hulu Rajang di Sarawak (34,080km persegi; 43,438 pengundi berdaftar pada PRU15) dan terkecil Tanjong di Pulau Pinang (6km persegi; 52,803 pengundi berdaftar pada PRU15).
“Tugas wakil rakyat ini 24 jam. Macam tentera kita ni. Bila ada masalah rakyat, subuh lagi kita pergi. Kita ini hari-hari berdepan rakyat. Kita ini sebenarnya mewakili kerajaan meyantuni rakyat,” katanya kepada FMT.
Khlir berkata sifat pekerjaan seperti itu adalah sebab beliau amat bersungguh-sungguh dalam isu pemberian peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat.
Ahli politik Bersatu ini menjelaskan seseorang Ahli Parlimen masih perlu menjalankan amanah sekalipun tanpa peruntukan.
“Jadi kalau kita buat kerja, pencen tak ada, apa tak ada, kerja apa macam ni?” soalnya.
Khlir mengulas cadangan Pengerusi Bersih Thomas Fann yang menyarankan kerajaan mempertimbangkan “reformasi politik” itu, dengan mendakwa ada Ahli Parlimen atau Adun menerima pencen walaupun hanya berkhidmat satu penggal.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik cadangan berkenaan dan mahu ia dibincangkan di Dewan Rakyat dengan segera.
“Kerana mana keadilannya? Penjawat awam perlu bekerja puluhan tahun sebelum dapat melayakkan diri untuk dapat pencen,” katanya, dan menambah seseorang ahli politik itu berpotensi memperoleh ‘pencen bertindih’ sekiranya dia juga seorang Adun.
Bekas Adun Sanglang Hashim Jasin yang menyokong langkah yang baik untuk rakyat menyarankan penggantian itu terpakai bagi mereka yang sedang berkhidmat sambil berkata kehidupan tidak mudah bagi seorang wakil rakyat yang bersara.
Hashim, yang berusia 84 tahun, pernah menjadi seorang guru agama dan menjadi wakil rakyat dari 2008 hingga 2013.
“Wakil rakyat itu pun kalau tak diteruskan dengan pencen, susah juga hidup dia,” katanya, dan menambah ada bekas wakil rakyat terus membantu masyarakat.
Menurut laman KWSP, bayaran yang dikenakan caruman antaranya gaji, upah tertentu, elaun, dan insentif.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan tahun lalu mendedahkan gaji Adun negeri itu antara terendah.