
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.
Kedua-duanya ditahan pada 11 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber berkata, projek itu membabitkan percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
“Suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.
“Mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus,” kata sumber itu, menurut Berita Harian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Difahamkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Nur Adilah Halid hari ini membenarkan permohonan SPRM menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari bermula hari ini hingga 26 September.
Sebelum ini media melaporkan seorang ketua penerangan parti meminta SPRM menyiasat kontroversi membabitkan seorang menteri kanan kerajaan terdahulu.
Ia dikatakan membabitkan isu pemberian kontrak penyelenggaraan sekolah serta percetakan buku J-Qaf.
Menteri itu juga didakwa memperoleh dana daripada individu berpangkat Datuk yang membolot semua projek penyelenggaraan sekolah.