
PETALING JAYA: Kerajaan patut memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan sederhana dalam Belanjawan 2024 kerana inisiatif semasa untuk meningkatkan pendapatan lebih banyak ditumpukan kumpulan B40, kata seorang ahli ekonomi.
Profesor Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata golongan berpendapatan sederhana menghadapi cabaran dalam meningkatkan potensi pendapatan mereka kerana pendapatan progresif yang dicadangkan oleh kerajaan tidak banyak membantu mereka pada masa ini.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan dasar-dasar termasuk menawarkan waktu kerja yang fleksibel.
“Bagi golongan berpendapatan sederhana, membenarkan waktu kerja fleksibel untuk mengurangkan jumlah jam bekerja dan memberi mereka sedikit masa untuk memperoleh pendapatan kedua akan membantu.
“Belanjawan 2024 harus memperkenalkan insentif yang lebih baik untuk menggalakkan waktu kerja fleksibel dalam bekerja dari rumah, kerja bebas, pekerjaan gig ekonomi, berkongsi platform ekonomi, dan perniagaan mikro untuk membantu mendapatkan pendapatan kedua, yang sepatutnya bebas cukai,” kata Williams kepada FMT.
Pada minggu lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan memberi tumpuan kepada meningkatkan tahap pendapatan rakyat, katanya ia akan memberi kesan langsung kepada kualiti hidup mereka secara keseluruhan.
Menteri itu berkata kira-kira separuh pekerja di negara ini mendapat RM2 lebih daripada garis kemiskinan sebanyak RM2,208, dengan majoriti isi rumah tergolong dalam kategori pendapatan rendah.
Atas faktor itu, kerajaan memutuskan untuk melabur dalam infrastruktur untuk menyokong pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kemiskinan, termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat, kata Rafizi.
Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma menyambut baik inisiatif tersebut. Beliau berkata negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan bukan hanya kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan domestik.
Katanya, mencapai keseimbangan yang lebih baik antara pembangunan dan pertumbuhan ekonomi tidak hanya akan membantu menghasilkan pendapatan untuk kerajaan, tetapi juga akan membolehkan negara mengagihkan semula pendapatan kepada rakyat.
“Pertumbuhan ekonomi hanya meningkatkan KDNK dan pendapatan domestik. Namun, pembangunan ekonomi bermaksud peningkatan tidak hanya dalam terma kuantitatif, tetapi juga dalam hal kualiti hidup, sara hidup yang mampan, dan pembasmian kemiskinan,” kata Berma.