
PETALING JAYA: Tiba masa kerajaan Johor menimbangkan penubuhan Sekretariat Kerajaan Perpaduan peringkat negeri mengambil kira keserasian makin mendalam antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, berkata ia merujuk kerjasama dua gabungan berkenaan pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bulan lalu.
Teo, yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP, berkata status PH di negeri itu masih lagi “pengimbang”.
“Setakat ini, memang PH dalam kerajaan Johor masih lagi menjalankan ‘semak dan imbang’ kita panggil sebagai pengimbang. Kalau ada sebarang apa-apa kekurangan kami akan hadapi bersama. Setakat ini kerjasama semakin rapat dan ini yang paling penting,” katanya menurut Berita Harian di Bandar Putra, Kulai, Johor.
Beliau berkata, Sekretariat Kerajaan Perpaduan tersebut penting bagi membuka laluan kepada peringkat bahagian dan Parlimen demi kerjasama lebih rapat.
“Ini kerana sekarang kami semua duduk dalam kerajaan perpaduan, jadi kami hendak pastikan supaya maklumat daripada kerajaan perpaduan boleh disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.
“Sekretariat Kerajaan Perpaduan ini memainkan peranan penting untuk pastikan supaya kita nampak usaha dan hala tuju yang sama untuk membantu masyarakat,” katanya timbalan menteri komunikasi dan digital itu.
Dalam PRN Johor pada Mac 2022, BN mencatat kemenangan besar apabila menang 40 daripada 56 DUN. PH menang 10 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) meraih tiga kerusi.