
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak rakan bapa tirinya dalam kejadian di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30, Lahad Datu, pagi tadi.
Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika budak lelaki warga asing itu ditinggalkan ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja di ladang sawit, kira-kira 7.30 pagi.
Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian.
“Siasatan di tempat kejadian menemui mayat kanak-kanak lelaki dalam keadaan berlumuran darah.
“Terdapat kesan tetakan objek tajam dipercayai parang pada belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta putus tapak tangan kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, menurut Berita Harian.
Rohan berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan mendapati suspek adalah rakan kepada bapa tiri mangsa yang melarikan diri selepas kejadian. Namun, motif kejadian masih belum dikenal pasti.
“Berikutan itu polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berikutan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk sekitar untuk mengesan suspek dengan menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu Kharuddin Husain di talian 013-9071709.