
IPOH: Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun berkumpulan di sebuah kilang elektronik di Jalan Lapangan Terbang di sini, pada 14 Sept.
Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, berkata semua suspek berumur 27 hingga 47 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Ipoh, Pulau Pinang, dan Selangor menerusi Op Kargo Carsem, sejak dua hari lalu.
Beliau berkata, dalam kejadian 9.15 malam, sekumpulan lelaki telah memecah masuk ke kawasan kilang itu dan mengikat pengawal keselamatan yang menjaga pintu kilang, sebelum melarikan sejumlah bahan logam mampat bernilai kira-kira RM180,000 dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Polis berjaya menemui semula semua besi mampat yang dilarikan itu di sebuah rumah di Bercham di sini milik saudara salah seorang suspek termasuk kenderaan, pakaian, dan telefon bimbit yang digunakan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dalang utama kumpulan penyamun itu adalah seorang pengawal keselamatan di kilang berkenaan, yang bertindak membuka pintu kilang untuk membawa masuk rakannya ke dalam stor kilang.
Yahaya berkata, lima daripada enam suspek itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau, dan seorang daripada suspek berusia 47 tahun didapati positif dadah jenis morfin.
Beliau berkata, semua suspek direman sehingga 26 Sept bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata.