
PETALING JAYA: PAS mengakui kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Pelangai tidak mengubah pentadbiran di Pahang sebaliknya akan menekan pemerintah dari segi jumlah kerusi di DUN.
Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kemenangan PN akan memberi kelebihan dua kerusi iaitu 18 berbanding Barisan Nasional (BN) selaku parti utama pemerintah yang berkurangan kepada 16 kerusi.
Pada PRU15, kedua-duanya memiliki 17 kerusi DUN namun BN menjadi kerajaan susulan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai lapan kerusi.
“Dari segi pentadbiran memang masih kekal, cuma kita boleh bayangkan pembangkang 18 kerusi, parti menjadi kerajaan 16 kerusi. Ia akan menjadi satu tekanan besar kepada kerajaan.
“Dari segi politik demokrasi, ia sebenarnya melambangkan suara pembangkang mendominasi parti kerajaan.
“Tanpa gabungan dengan PH, sebenarnya mereka (BN) tak boleh lagi meneruskan agenda (pentadbiran kerajaan) negeri,” katanya menurut Berita Harian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Pelangai.
PRK pada 7 Okt itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu Amizar Abu Adam (BN), Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun pada kejadian pesawat persendirian terhempas di Bandar Elmina, 17 Ogos lalu.