
PETALING JAYA: Seorang exco Terengganu berkata kerjasama “State Government 4” (SG4) bersama Dr Mahathir Mohamad bukan demi berpolitik, sebaliknya membangunkan ekonominya yang dikatakan “mundur” oleh Putrajaya.
Sambil membidas cubaan melagakan Mahathir dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, Razali Idris berkata ia memberi isyarat “kegerunan” kepada kerajaan persekutuan.
“Nampaknya, timbul satu kegerunan peringkat persekutuan, malahan tukang karut kepimpinan tertinggi dalam Umno yang kini semakin ketandusan idea mula meletakkan propaganda kosong mereka.
“Malahan, ada cuba-cubaan untuk melagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya yang juga ketua penerangan Bersatu di Facebook.
Sebelum ini, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak berkata Muhyiddin dilihat semakin hilang peranan tertinggi dalam gabungan pembangkang selepas PAS cuba menonjolkan bekas perdana menteri dua kali itu sebagai pemimpin de facto menerusi SG4.
“Kekadang apabila kurang maklumat dan tidak tahu apa-apa berhubung SG4, nampak sangat kedangkalan tukang karut Umno ini,” kata Razali mengenai kenyataan bekas ketua menteri Sabah itu.
Razali berkata, SG4 adalah inisiatif untuk kepentingan empat negeri di bawah PN, selain memanfaatkan kelebihan Mahathir.
“SG4 adalah satu gerakan murni di bawah PN, di samping mengambil kesempatan mencedok pemikiran unggul Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan pemikirnya dari dalam negara dan luar negara,” katanya.