
PETALING JAYA: Calon PRK Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli, dipecat serta merta daripada Umno kerana bertanding bebas, kata Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata demikian selepas didapati Haslihelmy, 36, merupakan ahli Umno Kampung Sum-Sum, menurut Sinar Harian.
Sebelum ini, media melaporkan beliau sedia dipecat parti dan menegaskan keputusan bertanding diambil bagi memastikan suara rakyat terutama generasi muda di kawasan itu didengar.
Haslihelmy juga merupakan presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang.
Hari ini, berlangsung penamaan calon bagi PRK Pelangai dengan Barisan Nasional menampilkan Ahli Jawatankuasa Umno Bentong Amizar Abu Adam, 50, manakala Naib Yang Dipertua PAS Bentong Kasim Samat, 62, mewakili PN.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 3 Okt, manakala 7 Okt hari pengundian. Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim, calon Pakatan Harapan Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.