
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa masalah bekalan makanan asas di kawasan itu diatasi segera oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Wakil rakyat PKR yang melihat sendiri masalah semakin meruncing itu mendakwa rakyat marah kerana bekalan makanan utama seperti beras tempatan, minyak masak, telur ayam dan gula pasir sukar didapati.
“Mohon KPDN tolong rakyat kami di Pasir Gudang.
“Tidak pernah rakyat mengalami putus bekalan makanan utama seperti sekarang ini,” katanya kepada FMT sambil menegaskan sudah memaklumkan masalah itu kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.
Hassan berkata antara langkah segera boleh dilakukan adalah dengan menganjurkan program Jualan Rahmah yang memberi peluang orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas harian sehingga 30% lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
“Atau hantar bekalan makanan yang cukup ke Pasir Gudang sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Fuziah berkata KPDN akan melaksanakan program Jualan Rahmah dua kali sebulan di 640 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, bermula bulan ini.
Jualan itu diperkenalkan selepas kementerian itu menerima peruntukan tambahan RM50 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, 30 Jul lalu.
Kenaikan harga beras import sejak awal bulan ini menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan meningkat dan turut memberi kesan kepada bekalannya.