
PETALING JAYA: Timbul trend membimbangkan berkait peningkatan kes penipuan ubah suai kediaman selepas ramai mangsa tampil mendedahkan dakwaan diperdaya kontraktor.
Antara modus operandi kontraktor penipu termasuk memaparkan gambar mempersona projek ubah suai kononnya dilakukan di profil media sosial mereka.
Mangsa kemudian segera meminta sebut harga daripada kontraktor berkenaan demi merealisasikan kediaman diimpikan, tanpa sebarang perjanjian rasmi. Bagaimanapun, isu timbul selepas itu selepas pembayaran dibuat dan kerja berjalan.
Dalam sidang media di pusat khidmat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, pada Khamis, empat mangsa tampil mendakwa mereka ditipu oleh kontraktor sama.
Seorang daripada mangsa, Farah Nabila Zainudin, 26, berkata mendakwa dia mengupah kontraktor bagi kerja ubah suai penuh kediaman dan telah melunaskan pembayaran hampir RM108,400. Namun, kerja berjalan perlahan dan banyak perkara dilakukan salah.
“Akhirnya, saya terpaksa mengupah kontraktor lain untuk menyelesaikan kerja di kediaman dan saya akhirnya menyebabkan kos tambahan ditanggung RM150,000,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Ahassolehin Ahadlin, 31, berkata dia mengupah kontraktor sama untuk ubah suai kedainya di Bandar Baru Bangi. Kerja ubah suai bermula Oktober 2021, tetapi tergendala dua bulan kemudian.
“Sepanjang tempoh itu, terlalu sedikit kerja dilakukan. Dia beri pelbagai alasan – macam jangkitan Covid-19, banjir,” katanya sambil menambah dia telah membayar hampir RM30,000.
Kok berkata, ia bukan kes pertama menangani penipuan ubah suai dengan sudah menerima 40 aduan melibatkan beberapa kontraktor berlainan yang mengguna pakai taktik hampir sama.
Beliau berkata, tindakan berdepan kes seumpama ini mungkin sukar kerana ketiadaan perjanjian sewajarnya.
“Jadi, mungkin kerajaan patut memperkenalkan (dokumen) seperti perjanjian jual beli (SPA).”
Pendaftaran CIDB
Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, Oliver Wee Hiang Chyn, berkata pemilik kediaman mesti terlebih dulu memeriksa keabsahan kontraktor.
“Di bawah Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), semua kontraktor atau individu terlibat dalam aktiviti pembinaan mesti berdaftar dengan CIDB,” katanya.
“Sama ada anda boleh periksa melalui laman web atau anda pergi sendiri ke mana-mana cawangannya atau menghubungi talian,” sambil memberi ingatan terhadap sebut harga terlalu murah bagi kerja ubah suai kerana tidak menjamin kualiti kerja.
Perjanjian bertulis
Wee berkata, pemilik kediaman sepatutnya sentiasa membuat perjanjian bertulis sekiranya timbul pertikaian, sama ada dalam mahkamah atau menerusi timbang tara.
“Letak segalanya, terma dan syarat jelas difahami kedua-dua pihak di atas kertas. Itu perkara baik perlu ada,” katanya.