
PETALING JAYA: Penggunaan bas mini milik swasta sebagai perkhidmatan tambahan kepada KTM Komuter boleh membantu menghidupkan kembali perkhidmatan kereta api itu, kata seorang pakar pengangkutan.
Rosli Khan berkata KTMB perlu menyasarkan kadar penumpang perkhidmatan komuter sebelum negara dilanda pandemik Covid-19, yang boleh ditingkatkan dengan membaiki isu “batuan awal dan akhir”.
Katanya, bas bas mini patut digunakan untuk melengkapkan perkhidmatan komuter, kerana bas RapidKL terlalu besar dan hanya boleh beroperasi di jalan utama.
“Inilah sebabnya mengapa kadang-kadang kita hanya melihat kira-kira tiga hingga 10 orang dalam bas yang boleh membawa 40 penumpang.
“Bas mini menawarkan perkhidmatan yang lebih baik daripada yang besar. Bas mini lebih laju, boleh masuk lebih dalam ke taman perumahan, dan menyediakan perkhidmatan hampir ke pintu rumah,” kata Rosli kepada FMT.
Beliau mengulas satu hantaran di twitter.com yang mempersoalkan kadar penumpang harian purata KTM Komuter yang rendah iaitu hanya 15,560 untuk tahun ini.
Bekas timbalan menteri pengangkutan Aziz Kaprawi pula berkata Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) menyebabkan kelewatan dan gangguan kepada kekerapan perkhidmatan KTM Komuter.
Jumlah penumpang KTM Komuter merosot sejak 2016 dan bertambah teruk selepas pandemik Covid-19, dari 83,299 penumpang sehari pada 2019 kepada 16,162 pada 2021.
KVDT bermula pada tahun 2015 dengan fasa pertama yang menghubungkan Rawang dengan Batu Caves dan Salak Selatan. Projek fasa kedua ditangguhkan dua kali sejak 2017, setelah kontrak itu dibatalkan oleh dua kerajaan.
Projek landasan berkembar ini melibatkan penggantian trek kereta api yang berusia 25 tahun, peningkatan sistem elektrifikasi, dan kerja-kerja penyelenggaraan trek dari Salak Selatan ke Seremban serta antara Simpang Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang.
Aziz berkata semasa beliau menjadi timbalan menteri pengangkutan, beliau memperkenalkan proses pembelian tiket KTM Komuter secara automatik. Bagaimanapun, katanya integrasi digital dan automasi, yang penting untuk menarik lebih banyak penumpang, berjalan dengan perlahan.
Perkhidmatan harus lebih mesra pengguna, katanya.