
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diingatkan tidak memberikan kuliah berhubung ‘pelaporan tepat’ dalam kandungan berita, menurut kumpulan wartawan veteran dan pengamal media.
Menerusi kenyataan bersama, kumpulan itu mempersoalkan sama ada tindakan melaporkan sesuatu peristiwa dianggap satu kesalahan, merujuk arahan SKMM kepada MalaysiaNow supaya meminda atau menurunkan laporannya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat, atau berdepan “tindakan penguatkuasaan lanjut” pada 19 Sept lalu.
Selain itu, mereka juga kesal dengan kenyataan SKMM pada 22 Sept lalu yang menyifatkan laporan berkenaan di luar konteks dengan niat untuk “menyebarkan kebencian atau mencetuskan provokasi”.
“Dalam konteks ini kami berpendapat SKMM tidak seharusnya memberikan kuliah tentang apa itu ‘pelaporan yang tepat’.
“SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya,” katanya menegaskan pengamal media memahami tanggungjawab serta dipandu profesionalisme dan etika kewartawanan.
Kenyataan itu ditandatangani wartawan veteran antaranya Johan Jaaffar, A Kadir Jasin, Azman Ujang, Hussamuddin Yaacob, Chamil Warya dan Mior Kamarulbaid Mior Shahid.
Turut berbuat demikian wakil syarikat dan NGO media antaranya Ashwad Ismail, The Centre for Independent Journalism Malaysia dan Gerakan Media Merdeka.
Kumpulan itu turut mengingatkan SKMM bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali menekankan pentingnya media bebas dan bertanggungjawab, termasuk berjanji akan mengambil sikap terbuka terhadap kritikan atau teguran.
“Langkah SKMM kebelakangan ini sama sekali bertentangan dengan semangat perdana menteri yang mahu melahirkan suasana media kondusif untuk pengamalnya bekerja tanpa ragu dan takut,” katanya.