
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin menggesa penyebar fitnah yang mendakwa beliau terlibat dengan rasuah dalam projek percetakan buku J-Qaf bernilai RM80 juta ketika menjadi menteri kanan pendidikan supaya memohon maaf.
Radzi berkata selain dakwaan beliau meluluskan secara runding terus projek itu, isterinya Balkis Zakaria turut menjadi mangsa kerana didakwa berketurunan kerabat atau tengku seperti ditularkan.
Menurut naib presiden Bersatu itu, Balkis sebenarnya anak kepada ulama terkenal di Kedah iaitu Zakaria Wan Ahmad Besar dan beliau juga bukan proksi kepada mana-mana syarikat dikaitkan dengan dakwaan rasuah projek bernilai RM80 juta itu.
“Apa yang hendak dilakukan daripada fitnah itu adalah untuk membunuh karakter saya,” katanya dalam video di Facebook yang turut menampilkan isterinya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat dakwaan rasuah dalam projek percetakan buku J-Qaf yang didakwa berlaku ketika Radzi menjadi menteri kanan pendidikan bermula 2020 hingga 2022.
Kelmarin, SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan berusia dalam lingkungan 20-an kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.
Suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.
Semalam, Radzi dalam kenyataan menafikan dakwaan beliau meluluskan secara runding terus projek berkenaan dan mendakwa tindakan SPRM itu dibuat atas arahan pihak atasan susulan kenyataannya di Parlimen, Selasa lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil Radzi dalam siasatan itu.