
PETALING JAYA: Polis menerima tiga laporan membabitkan lapan rakyat Sarawak menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan serta dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan di Myanmar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata laporan berkenaan dirujuk ke Cawangan D3 (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran), Interpol dan Aseanpol bagi membantu mengesan dan menyelamatkan semua mangsa.
“Polis juga membuat pemakluman kepada konsulat dan Kementerian Luar bagi membantu mempercepat proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang semua mangsa,” katanya menurut Bernama.
Azman berkata, laporan pertama dibuat di Tanjung Manis pada 21 Sept lalu dengan mangsa dimaklumkan melibatkan dua lelaki.
“Laporan kedua pada 22 Sept di daerah Julau melibatkan seorang lelaki manakala laporan ketiga di Sibu melibatkan lima lelaki. Semua mangsa dilaporkan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun,” katanya.
Menerusi maklumat diterima, beliau berkata mangsa dipaksa bekerja di pusat panggilan melibatkan sindiket penipuan dalam talian di Myanmar, meskipun pada awalnya dimaklumkan mendapat tawaran pekerjaan di Thailand.
“Mangsa diberi tawaran melalui Facebook untuk bekerja di Thailand dengan gaji sekitar RM3,000 hingga RM6,000 seorang, bagaimanapun, mangsa tidak mengetahui jenis pekerjaan ditawarkan.
“Setibanya mereka di Thailand, semua mangsa seterusnya dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ (sindiket penipuan). Sekiranya mereka tidak mencapai sasaran yang ditetapkan pihak majikan, mereka akan didenda, didera serta diugut akan dijual kepada ejen lain,” katanya.
Azman memaklumkan semua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga serta hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670).