
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan bagi membantu kes kanak-kanak perempuan empat tahun lemas dalam kejadian di kolam renang sebuah apartment di Bangi pada 13 Sept lalu.
Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, suspek diberkas pada Ahad susulan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang baru dapat diakses.
“Penelitian yang dijalankan berdasarkan CCTV tersebut mendapati ketika kejadian, suspek yang merupakan abang tiri mangsa turut berada di lokasi,” katanya, menurut Sinar Harian.
“Suspek dilihat sedang leka melakukan sesuatu sambil melihat sahaja mangsa yang sedang lemas tanpa bertindak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mangsa.”
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan mendapati pada kira-kira 3 petang, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di apartment tersebut sebelum dibawa ke klinik dan kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes pada awalnya diklasifikasikan kematian mengejut.
Katanya, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 IPD Kajang bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.
Kes disiasat bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan.