
PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mengesahkan keterangannya sudah dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu melengkapkan siasatan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).
“Dah selesai. Dua minggu lepas macam tu,” katanya selepas majlis angkat sumpah 36 Adun Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
“Tanya soalan sahaja … dalam empat soalan. Saya bukan org jahat, nak tanya banyak-banyak. Saya dikenali sebagai orang baik. Tanya sikit pun padan lah.”
Pada 11 Sept, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil Sanusi dalam masa terdekat untuk mengambil keterangannya berkaitan isu REE.
Terdahulu, SPRM memaklumkan mereka mendapat petunjuk baharu dan mungkin memanggil individu penting, termasuk beberapa warga China, bagi membantu siasatan rasuah serta salah guna kuasa dalam perlombongan REE di Kedah.
Setakat ini, 12 saksi telah memberikan keterangan kepada agensi antirasuah bagi membantu siasatan.