
MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya menetapkan 27 Okt depan sebagai tarikh keputusan petisyen pilihan raya untuk kerusi Parlimen Masjid Tanah.
Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pempetisyen memohon menutup kes selepas gagal mengemukakan saksi penting untuk perbicaraan.
Peguam pempetisyen, Rosfinah Rahmat berkata waran tangkap terhadap Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir gagal diserahkan kepada individu berkenaan walaupun beberapa kali cuba diserahkan oleh polis, dengan kali terakhir pada 11 Sept lalu.
“Akmal Zahin seperti dalam bukti-bukti video menunjukkan pemberian wang dilakukannya dan dia adalah saksi penting kita. Jadi hari ini kerana tidak dapat melaksanakan waran tangkap tersebut, maka kami menutup kes.
“Mahkamah kemudian menetapkan tiga tarikh penting iaitu hujahan pihak-pihak secara bersama pada 9 Okt sementara jawapan hujahan pada 16 Okt dan keputusan akhir pada 27 Okt,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid bagi menafikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu pada PRU15 dengan kos RM20,000.
Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Sementara itu, peguam Mas Ermieyati, Mohd Faizi Che Abu berkata beban mengemukakan saksi terletak kepada pihak pempetisyen kerana pihak tersebut mendakwa Akmal Zahin terlibat dengan aktiviti sogokan ketika tempoh berkempen.
“Adalah tidak adil minta Mas Ermieyati untuk bawa saksi sokong pempetisyen. Dari segi undang-undang siapa yang mendakwa, dia yang kena buktikan.
“Dalam kes ini, mereka dakwa Akmal Zahin bagi duit dan dakwa Yang Berhormat (Mas Ermieyati) adakan jamuan sebagai rasuah. Jadi dia (pempetisyen) kena buktikan benda itu dan berkaitan dengan Akmal Zahin,” katanya.