
PETALING JAYA: Ledakan industri pelancongan kesihatan selepas pandemik Covid-19 menyebabkan negara mengalami kekurangan jururawat sehingga memerlukan sektor itu bergantung kepada tenaga asing, kata Kesatuan Jururawat Malaya (MNU).
Presidennya Nor Hayati Abd Rashid berkata walaupun negara mempunyai kolej jururawat khusus untuk melahirkan pekerja mahir dalam sektor perubatan, namun ia terganggu ketika krisis kesihatan pada 2020 apabila latihan praktikal terpaksa dihentikan sementara.
“Teori mungkin boleh secara talian, tetapi untuk mengeluarkan seorang jururawat mahir, mereka perlu menjalani latihan praktikal.
“Nak mengeluarkan satu jururawat perlu latihan (praktikal) minimum tiga tahun untuk layak berkhidmat. Bukan hari ini masuk, bulan depan boleh keluar (bekerja). Jadi ia akan ambil masa untuk tampung keperluan,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan fasiliti kesihatan swasta boleh mengambil jururawat asing bermula 1 Okt hingga 30 Sept tahun depan, namun boleh disambung 12 bulan lagi mengikut kelulusan.
Zaliha berkata, jururawat berkenaan perlu menduduki Peperiksaan Kelayakan Jururawat Terlatih Asing Lembaga Jururawat Malaysia, selain mematuhi terma dan syarat ditetapkan Kementerian Dalam Negeri antaranya perincian gaji serta kontrak.
Hayati mendedahkan penghijrahan jururawat tempatan ke luar negara, yang menawarkan upah lebih tinggi juga memburukkan lagi keadaan.
“Kebanyakan mereka (berhijrah) kerana mahukan gaji lebih stabil. Cukup lima ke 10 tahun, mereka balik dan buat benda lain.”
“Tapi tak bermakna yang dekat Malaysia ini tak kukuh, bergantung kepada keperluan individu,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu memberi kesan kepada industri pelancongan kesihatan yang semakin berkembang pesat, termasuk pertambahan pesakit dari negara jiran seperti Indonesia.
“Di Melaka dan Pulau Pinang ramai rakyat Indonesia datang mendapatkan rawatan, ini menyumbang kepada pelancongan kesihatan kita tetapi mereka (hospital swasta) tidak boleh memberi perkhidmatan tanpa jururawat.
“Sebab itu, hospital swasta sejak dari tahun lepas lagi minta kerajaan benarkan (ambil jururawat asing) kerana kita tak cukup jururawat.”